Nilai, 23 November – Pasukan Berbasikal Sabah yang dibimbing jurulatihnya, Louis Pang optimis mampu menjadi pesaing dalam sukan berbasikal trek melalui program pembangunan yang telah dirangka dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sabah.

Kejayaan membawa pulang 2 pingat gangsa menerusi acara kejar mengejar individu dan berpasukan lelaki merupakan bonus bagi Sabah yang tampil sebagai pasukan ‘underdog’ ketika temasya SUKMA 2018 yang telah berlangsung September lepas.

Bagi siri ke-3 Kejohanan Trek Program Pembangunan Berbasikal Remaja CIMB kali ini, Louis Phang tidak meletakkan sasaran yang tinggi kerana kebanyakan pelumba bercuti selepas tamat SUKMA.

“Sirkit kali ini lebih kepada untuk mengembalikan semula semangat pelumba-pelumba setelah bercuti untuk berehat dan membuat persedian menjelang perperiksaan akhir tahun memandangkan majoriti pelumba saya berumur 16 tahun,” ujar Louis Pang ketika ditemui di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai.

Sabah menyasarkan untuk mengembangkan lagi pasukan untuk membawa nama Negeri Dibawah Bayu itu setanding dengan Terengganu dan Johor melalui pencarian bakat-bakat baru untuk digilap dan diberi lebih banyak pendedahan.

“Acara trek merupakan sukan yang menyeronokkan cuma kami di Sabah menghadapi cabaran yang besar iaitu tiada velodrom dan kemudahan jalan raya yang kurang. Walaubagaimanapun, kami amat berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Sabah dan ibu bapa pelumba kerana sentiasa memberi semangat dan dorongan kepada pasukan.”

Sabah beraksi cemerlang ketika Kejohanan Trek Siri ke-2 yang lalu setelah mengumpul 7 emas, 1 perak dan 1 gangsa yang merupakan persediaan akhir dua minggu sebelum SUKMA 2018 membuka tirai.