SEPANG 18 JULAI 2018. Ketua Jurulatih JCM, Muhammad Faiz Izzuddin. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

SEPANG: Kunjungan kali kedua tujuh pelumba remaja negara yang berada dalam program Junior Cycling Malaysia (JCM) ke Eropah diharap mampu memikat pasukan di sana.

Menurut jurulatih negara, Faiz Izzuddin Omar, ia antara sasaran utama dengan kunjungan ke Belanda dan Belgium selama 20 hari bermula semalam.

“Kami berharap sekurang-kurangnya empat pelumba akan mendapat perhatian pasukan benua di Eropah.

“Kunjungan untuk latihan dan pertandingan tahun lalu menyaksikan seorang pelumba mendapat tawaran namun terpaksa ditolak kerana masalah pelajaran. Namun kali ini, kami berharap sekurang-kurangnya empat pelumba mampu mencuri tumpuan pasukan Eropah,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Seramai tujuh pelumba berusia 16 hingga 19 tahun disenarai untuk menyertai 10 hingga 12 perlumbaan bertaraf dunia yang sudah diatur JCM.

“Malah dua pelumba sebenarnya sudah pergi lebih awal dan sudah menaiki podium dalam perlumbaan di sana,” ujarnya.

Sementara itu penaja JCM, Yayasan CIMB menerusi Ketua Korporat Tanggungjawab Sosial, Soon Le Meng berharap kunjungan ke Eropah akan meningkatkan lagi profil pelumba.

“Saya harap ada yang berjaya di sana. Ini tahun pertama kerjasama antara JCM dengan kami, jadi kami berharap dapat mencungkil bakat baru,” katanya.

Sumber: Berita Harian