KUALA LUMPUR: Pelumba B-19 tahun Yayasan CIMB – Junior Cycling Malaysia (CIMBF-JCM), Nurfitri Ammar Rusli ‘dilamar’ salah sebuah pasukan berprestij yang berpangkalan di Woensdrecht, Belanda bagi mengharungi tiga peringkat perlumbaan Fleche Ardennaise di Liege, Belgium.

Aksi memukau Nurfitri Ammar menarik perhatian pengurus Willebrord Wil Vooruit (WWV), Kees Kuiljen yang sudah mengenalpasti kebolehan dan kekuatannya sejak Jelajah Eropah tahun lalu.

“Saya memantau dia sejak tahun lalu ketika Jelajah Eropah 2017. Dia menunjukkan prestasi yang cemerlang tahun lalu. Malah pada tahun ini, Fitri Ammar menunjukkan peningkatan yang baik. Apa yang perlu kita lakukan adalah memberi peluang kepadanya,” jelas pengurus berusia 65 tahun itu dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi Nurfitri Ammar, ini adalah medan terbaik bagi membuktikan kemampuan dan memahatnya dalam arena sukan berbasikal.

“Bagi saya, ini peluang yang sangat baik. Mewakili salah satu kelab berprestij di Belanda di kejohanan bermutu di Belgium adalah sesuatu yang saya tidak pernah jangka selama ini. Fleche Ardennaise diklasifikasikan perlumbaan berstatus 1.2 dalam Jelajah Eropah UCI,” katanya.

Perkembangan positif berkenaan turut menarik perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin yang jelas berbangga dengan  pencapaian Nurfitri Ammar.

“Ini adalah satu lagi detik penting untuk CIMB-JCM yang berjaya menonjolkan kebolehan pelumba sehingga berjaya menarik perhatian dari kelab tersebut. Secara langsung ini membuktikan keberkesanan program CIMB-JCM dalam melatih pelumba yang mampu bersaing di pentas dunia,” menurutnya.

Nurfitri Amar adalah salah seorang pelumba CIMB-JCM yang dihantar ke Eropah bagi menyertai 11 perlumbaan berbasikal di Belgium, Perancis, dan Belanda selama 20 hari.