Utusan Borneo (Sabah)
29 Jan 2018

SEREMBAN: Muhammad Nurfitri Ammar Rosli mengungguli kejohanan CIMB Foundation-Junior Cycling Malaysia (CIMBJCM) apabila menjuarai acara kriterium dan lumba lebuh raya yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu.

Anak kelahiran Johor ini menjuarai acara kriterium semalam dan telah dianugerahkan baju biru, pingat dan wang tunai setelah mengalahkan pesaingnya Abdul Rashid Hisham dan Shafrifat Nandamulya dalam kategori Lelaki Bawah 19 tahun.

Pada Ahad, beliau yang mewakili pasukan JCM sekali lagi menjadi juara dalam acara lumba lebuh raya sejauh 94 kilometer (km) dengan catatan masa 2 jam 21 minit dan 47 saat (2:21:47) manakala pesaingnya Muhammad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri daripadaMajlisSukanNegara (MSN) dan Muhammad Fakhruazam Mohd Hanafiah mewakili Johor menamatkan perlumbaan dengan mencatat rekod masa yang sama iaitu 2:25:46.

Bagi kategori Wanita Bawah 19 Tahun, acara lumba lebuh raya sejauh 56.4km telah dimenangi oleh Nor Aisyah Munirah Che Ku Ramli daripada MSN dengan catatan masa 1:46:13 mendahului Putri Rabiatul Nisa Rozaman dari Johor dengan merekodkan masa yang sama manakala Nur Syafika Natasha Kadir dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Seramai 850 peserta menyertai CIMB-JCM, yang memasuki tahun kedua penganjurannya, sebagai platform untuk mereka mengasah bakat dalam acara kriterium dan lumba lebuh raya.

Ia juga merupakan usahasama di antara CIMB Foundation dan JCM di bawah Program Pembangunan Remaja bagi sukan berbasikal. Bernama.