LAPAN pelumba Bawah 17 dan Bawah 19  negara di bawah program CIMB Junior Cycling Development Programme akan menyertai 23 siri perlumbaan pada siri Jelajah Eropah 2018 yang dijangka diadakan bermula 18 Julai hingga 8 Ogos nanti.

Kesemua pelumba lelaki tersebut akan menyertai 20 hari siri jelajah dalam kejohanan tersebut yang dilihat pentas bagi pelumba muda mempamerkan bakat-bakat untuk menarik minat perhatian pasukan-pasukan dari Eropah.

Jurulatih JCM, Muhammad Faiz Izzuddin berkata, kesemua pelumba ini akan menjalani latihan dan menyertai perlumbaan di Belanda dan Belgium.

“Sepanjang 20 hari jelajah pada kejohanan tersebut, kesemua pelumba akan menyertai 11 siri perlumbaan bagi B-17 dan 12 perlumbaan bagi pelumba B-19.

“Kami mahu pelumba yang membawa cabaran kali ini mengambil peluang untuk menimba pengalaman selain mempamerkan bakat kepada pihak luar.

“Selain itu, pelumba juga berpeluang menonton perlumbaan berprestij Tour de France Peringkat ke-9 di Roubaix, Perancis,” jelasnya.

Pada masa sama, Muhammad Faiz menjelaskan, penyertaan pelumba dalam siri jelajah Eropah ini juga bertujuan memberikan pendedahan taraf perlumbaan di Eropah kepada pelumba JCM.

“Kejohanan ini juga membuka ruang serta peluang kepada pelumba JCM untuk menarik minat pasukan-pasukan dari Eropah selain perancangan menjalinkan kerjasama antara JCM dan kelab-kelab tempatan di Eropah sebagai kesinambungan program pembangunan yang dijalankan di Malaysia,” ujarnya.