PELAJAR tingkatan empat Sekolah Sains Sukan Malaysia Terengganu (SSSMT), Wan Nor Akmal Mat Noor (mengangkat tangan) selepas berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 23 minit 41 saat.

KUALA LUMPUR: Anak tukang rumah, Wan Nor Akmal Mat Noor, 16, muncul juara Kejohanan Lumba Basikal Kriterium di bawah Program Pembangunan Berbasikal Remaja CIMB 2018 (JCM CIMB) untuk kategori lelaki bawah 17 tahun di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Sains Sukan Malaysia Terengganu (SSSMT) itu muncul juara selepas berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 23 minit 41 saat; diikuti pelumba Yayasan CIMB JCM (CIMB), Mohamad Justin Felix Nagel (naib juara) dan Abdul Azim Aliyas dari Negeri Sembilan di tempat ketiga.

Pelumba berasal dari Kampung Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan itu ketika ditemui nyata gembira dengan kejayaannya muncul juara biarpun mendapat saingan sengit dari pelumba lain terutama wakil CIMB, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Bagi Wan Nor Akmal, kemenangan itu juga membakar semangatnya untuk terus berlatih dan berusaha sebaik mungkin untuk mengulangi kejayaan apabila mewakili SSSMT sekali lagi di siri perlumbaan jelajah sama di Perlis, bulan depan.

“Kalau mengikut perancangan awal saya dan dua lagi rakan sepasukan merancang strategi untuk menang tempat pertama hingga ketiga, namun malang tidak berbau apabila basikal ditunggangi dua rakan saya yang lain mengalami kerosakan termasuk tayar pancit dan rantai terputus.

“Oleh itu saya terpaksa bekerja keras dan meneruskan saingan tanpa sokongan rakan sepasukan sehingga ke garisan penamat demi mencapai kemenangan kerana mereka tidak boleh meneruskan perlumbaan.

“Saya juga berharap dapat terus mengekalkan rentak kemenangan dan dapat mewakili negeri kelahiran Kelantan atau Terengganu ke temasya Sukan Malaysia 2020 (SUKMA) sekali gus membuka peluang untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa depan,” katanya yang menjadikan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Haris Salleh sebagai idolanya dalam sukan berbasikal.

Perlumbaan kriterium bagi kategori novice lelaki bawah 17 tahun pula dimenangi Muhammad Amirul Izham Mohd Amirul dari Pasukan Berbasikal Daerah Kota Tinggi; diikuti Muhammad Dine Asyraf Muhamad (Johor Bahru Cycling Team) kedua dan Muhammad Haizam Mohd Sabri dari Kelab Proucell (ketiga)

Terdahulu, seramai kira-kira 750 peserta berusia tujuh hingga 19 tahun dari seluruh negara menyertai CIMB-JCM yang memasuki tahun kedua penganjurannya sebagai platform untuk mereka mengasah bakat dalam acara kriterium dan lumba lebuh raya.

Sumber: Berita Harian