KECEMERLANGAN di pentas Eropah diteruskan pelumba Terengganu, Afiq Iskandar apabila menjuarai peringkat pertama Perlumbaan Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB 2019 di Bandar Sri Sendayan, Seremban, hari ini.

Percaturan pelumba berusia 16 tahun itu menjarakkan diri dari kelompok besar bersama tujuh pelumba lain seawal kilometer ke-30 berkesudahan dengan dia muncul juara untuk meraih jersi merah Yayasan CIMB manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dihuni rakan sepasukan, Muhammad Haizam dan Muhammad Hakimi Ajis dari Selangor.

“Ramai pelumba melakukan henjutan untuk memisahkan diri dari kelompok besar sejak awal tetapi tidak berjaya. Saya bersama tujuh pelumba lain berjaya membuat pemisahan sehingga 1 minit 40 saat di hadapan. Namun, perlumbaan ini tak semudah yang disangka, peloton semakin merapatkan kedudukan kepada 58 saat sahaja ketika perlumbaan berbaki lebih kurang 10 kilometer.

“Alhamdulillah, kami berupaya menjarakkan semula jarak kepada 1 minit 7 saat dan seterusnya muncul juara. Kejayaan ini menjadi pendorong buat saya dan pasukan bagi mengharungi perlumbaan peringkat kedua esok,” tambahnya yang menjuarai Kriterium De Draai, Belanda, baru-baru ini.

Afiq melepasi garisan penamat peringkat pertama Perlumbaan Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB.

Selain meraih kemenangan di peringkat pertama, Afiq juga dinobatkan sebagai pemenang jersi hijau (Raja Pecut) setelah memenangi zon pecutan dalam laluan perlumbaan sejauh 78.4km dari Kompleks Sukan Seremban 2 hingga ke Bandar Sri Sendayan itu.

Seramai 54 pelumba dari sepuluh pasukan negeri dan pembangunan remaja Singapura dengan saingan mempertandingkan tiga peringkat. Pelumba mempunyai baki dua peringkat perlumbaan bagi melengkapkan jarak keseluruhan perlumbaan sejauh 241.1km.

Peringkat kedua akan berlangsung esok bermula dari Dataran Senawang ke Bandar Sri Sendayan membabitkan jarak 133.5km disusuli dengan peringkat ketiga di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan pada Ahad.

Pelumba akan bersaing selama dua hari lagi bagi merebut gelaran Raja Pecut (jersi hijau), Raja Bukit (jersi merah polka dot), juara peringkat (jersi merah) dan juara keseluruhan (jersi biru) tajaan Pro Apparel.

Perlumbaan Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB merupakan acara tahunan anjuran Yayasan CIMB dan Junior Cycling Malaysia dalam misi memberi pendedahan kompetitif kepada bakat baharu sukan berbasikal.

Sumber: Harian Metro