ALOR SETAR 17 SEPTEMBER 2016. Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Halim Thani Sultan Badlishah (tengah-depan) turut menyertai acara kayuhan VIP sempena Program Lumba Lebuhraya Junior Cycling Siri Dua Peringkat Negeri Kedah di Dataran Menara Alor Setar. NSTP/SHAHRIZAL MD NOOR
ALOR SETAR 17 SEPTEMBER 2016. Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Halim Thani Sultan Badlishah (tengah-depan) turut menyertai acara kayuhan VIP sempena Program Lumba Lebuhraya Junior Cycling Siri Dua Peringkat Negeri Kedah di Dataran Menara Alor Setar. NSTP/SHAHRIZAL MD NOOR

ALOR SETAR: Seramai 650 peserta berentap bagi acara kriterium dan lebuh raya pada Kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) peringkat negeri yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Pengarah JCM, Azhar Jamal berkata penyertaan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak itu melebihi sasaran yang diletakkan iaitu hanya 500 penyertaan.

Katanya, ia disertai peserta berusia dari seawal lima hingga 19 tahun menerusi kategori basikal lebuh raya, BMX, Fixie, basikal lipat dan basikal tolak (push bike).

“Acara kali ini mempunyai cabaran yang berbeza dari penganjuran negeri lain apabila pelumba elit akan menempuh kayuhan berbukit-bukau di laluan Pedu, Padang Terap sejauh 120 kilometer, esok kerana keadaan geografi yang lebih mencabar.

“Kami berharap penganjuran kali ini akan memberi pendedahan dan pengalaman berbeza kepada peserta lama atau baharu seterusnya dapat mencungkil bakat baharu untuk perhatian Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya kepada pemberita pada kejohanan KCM di Dataran Menara Alor Setar di sini, hari ini.

Kejohanan terbabit dimeriahkan dengan Tengku Laksamana Kedah, Tan Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah berkenan melepaskan peserta kategori lebuhraya JCM.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata penganjuran JCM memberi sumbangan bermakna kepada MSN untuk mencari bakat baharu dalam sukan berbasikal.

“Penganjuran JCM setiap bulan ini memberi pendedahan pertandingan sebenar secara profesional kepada peminat sukan basikal biarpun hadiah keseluruhannya hanya RM13,000 tetapi semangat yang ditonjolkan peserta ini sebenarnya menjadi pengukur kepada kejayaan sebenar,” katanya.

Sumber: Berita Harian