Fakhruazam raih podium walaupun terjatuh

PELUMBA Yayasan CIMB-Junior Cycling Malaysia(CIMBF-JCM), Fakhruazam Hanifiah.

KUALA LUMPUR: Pelumba Yayasan CIMB-Junior Cycling Malaysia(CIMBF-JCM), Fakhruazam Hanifiah mempamerkan aksi cemerlang pada perlumbaan Ronde van Poeldijk di Belanda apabila berjaya meraih tempat ketiga hari ini.

Aksi memukau pelumba muda kelahiran Johor itu menjadi perhatian penggiat sukan berbasikal tempatan apabila dia terbabit dalam kemalangan di selekoh terakhir menuju ke garisan penamat namun bangkit meneruskan perlumbaan dan menamatkan saingan di tangga ketiga.

Fakhruazam berjaya melakukan pemecahan dari kelompok besar seawal pusingan kedua bersama dua pelumba lain hingga akhir perlumbaan.

Bagaimanapun di selekoh terakhir, Fakhruazam terjatuh susulan permukaan jalan yang licin akibat hujan.

Namun dia mempamerkan semangat kental apabila bangkit meneruskan kayuhan hingga ke garisan penamat.

“Perlumbaan hari ini amat mencabar dengan suhu mencecah 21 Celsius dan hujan. Permukaan jalan yang agak licin memaksa saya lebih berhati-hati. Namun, nasib tidak menyelebahi saya apabila terjatuh ketika di selekoh terakhir. Saya bangun dan teruskan perlumbaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Fakhruazam turut dibantu tiga rakan sepasukan iaitu Abdul Rashid Hisham, Iskandar Salim dan Nurfitri Ammar dalam menggalas cabaran perlumbaan.

Dia antara pelumba muda negara yang dihantar menyertai Jelajah Eropah 2018 bagi latihan dan pertandingan yang kini memasuki hari ke-11.

Sumber: Berita Harian


Pelumba JCM cuba pikat pasukan Eropah

SEPANG 18 JULAI 2018. Ketua Jurulatih JCM, Muhammad Faiz Izzuddin. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

SEPANG: Kunjungan kali kedua tujuh pelumba remaja negara yang berada dalam program Junior Cycling Malaysia (JCM) ke Eropah diharap mampu memikat pasukan di sana.

Menurut jurulatih negara, Faiz Izzuddin Omar, ia antara sasaran utama dengan kunjungan ke Belanda dan Belgium selama 20 hari bermula semalam.

“Kami berharap sekurang-kurangnya empat pelumba akan mendapat perhatian pasukan benua di Eropah.

“Kunjungan untuk latihan dan pertandingan tahun lalu menyaksikan seorang pelumba mendapat tawaran namun terpaksa ditolak kerana masalah pelajaran. Namun kali ini, kami berharap sekurang-kurangnya empat pelumba mampu mencuri tumpuan pasukan Eropah,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Seramai tujuh pelumba berusia 16 hingga 19 tahun disenarai untuk menyertai 10 hingga 12 perlumbaan bertaraf dunia yang sudah diatur JCM.

“Malah dua pelumba sebenarnya sudah pergi lebih awal dan sudah menaiki podium dalam perlumbaan di sana,” ujarnya.

Sementara itu penaja JCM, Yayasan CIMB menerusi Ketua Korporat Tanggungjawab Sosial, Soon Le Meng berharap kunjungan ke Eropah akan meningkatkan lagi profil pelumba.

“Saya harap ada yang berjaya di sana. Ini tahun pertama kerjasama antara JCM dengan kami, jadi kami berharap dapat mencungkil bakat baru,” katanya.

Sumber: Berita Harian