JOHOR BAHRU 29 MAC 2018. Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman (dua dari kiri) bersama Pengurus CIMB Cawangan Johor Bahru, Norlizat Ramli (tengah) bersempena Majlis Pengenalan Pasukan Program Pembangunan Berbasikal Remaja CIMB Stage Race dan Kriterium Johor yang diadakan di Hotel V8, Skudai, Johor Bahru.STR/NURUL AMANINA SUHAINI

JOHOR BAHRU: Sebanyak 15 pasukan dari seluruh negara menyertai Program Pembangunan Berbasikal Remaja CIMB Stage Race dan Kriterium Johor di sini, hari ini hingga Ahad ini.

Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Johor, Amran A Rahman, berkata kejohanan membabitkan 93 peserta berusia 16 hingga 18 tahun itu dengan jarak keseluruhan 214.6 kilometer (km).

Amran yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), berkata perlumbaan akan bermula di Dataran Bandaraya Johor Bahru menuju ke Iskandar Puteri menerusi Lebuhraya Sultan Iskandar, Lebuhraya Persisir Pantai Iskandar, Kota Iskandar sebelum kembali ke Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini.

“Pada hari ketiga pula, pelumba akan bersaing dalam acara kriterium di trek perlumbaan mengelilingi Dataran Bandaraya Johor Bahru, dengan jarak 25.2 km.

“Kejohanan anjuran bersama Junior Cycling Malaysia dan Yayasan CIMB bertujuan memberi pendedahan kepada lebih ramai bakat muda serta diharapkan menjadi platform mencungkil bakat untuk diketengahkan sebagai pemain pelapis negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Pengenalan Pasukan Program Pembangunan Berbasikal Remaja CIMB Stage Race dan Kriterium Johor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Teknikal Junior Cycling Malaysia, Yunus Ibrahim.

Kejohanan itu adalah bagi memilih pelumba yang berpotensi untuk mengikuti Program Path of Champions di Eropah pada awal Julai depan sebagai pendedahan kepada perlumbaan bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, Pengurus CIMB Cawangan Johor Bahru, Norlizat Ramli, berkata menyumbang semula kepada masyarakat adalah antara falsafah korporat CIMB Group dan mendorong penubuhan Yayasan CIMB pada November 2007.

“Yayasan CIMB mempunyai tiga teras utama iaitu pembangunan masyarakat, sukan dan pendidikan.

“Misi kami adalah untuk melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia dan menyokong dalam pembangunan sukan bola sepak, skuash, basikal dan gimnastik,” katanya.

Sumber: Berita Harian